Hidup kita memang penuh dengan dugaan dan ujian. Tanpa ujian dan dugaan, sudah tentulah hidup kita yang cuma sementara sahaja ini akan menjadi hambar. Sesungguhnya apa sahaja yang ditakdirkan menimpa diri kita, mempunyai tujuan atau hikmahnya yang tertentu. Hikmah itu pula kadangkala kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita.
keredaan Allah bergantung pada sikap kita dalam menerima segala ujian-Nya. Sekiranya kita reda maka sudah pasti Allah akan meredai kita dan menunjukkan laluan yang mudah untuk kita. Akhirnya, kita akan dibimbing untuk menyelesaikan segala kesulitan dengan penuh ketenangan dan kebijaksanaan. Sekiranya pula kita berasa marah, kecewa dan tidak reda dengan apa yang telah ditimpakan Allah ke atas kita.
kita sesungguhnya telah menyebabkan Dia memurkai kita. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya telah mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Tanpa keredaan Allah, bagaimanakah mungkin kita dapat melayari hidup ini dengan sebaik-baiknya. Apatah lagi untuk menghadapi segala musibah dan dugaan yang juga datang daripada-Nya. Sudah pastilah jiwa kita tidak akan tenteram, langkah kita akan pincang dan hidup kita, secara keseluruhannya, hilang arah.
Sekiranya kita ditimpa musibah, kita hendaklah menyedari bahawa yang memberikan musibah itu ialah Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih. Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita. Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.
No comments:
Post a Comment